Mar 28, 2009

.::AMARAH ALAM SEMULA JADI::.



Gunung berapi dasar laut mampu menjadi pemusnah paling besar di muka bumi.



KETENANGAN Lautan Pasifik Selatan yang membiru airnya terganggu pada 16 Mac lalu berikutan satu letusan gunung berapi dasar laut di perairan berhampiran negara Tonga.

Letusan kuat itu menyebabkan asap, wap dan debu menyelubungi kawasan sekitar perairan tersebut hingga ke langit. Pakar mengatakan letusan yang kerap dan bertalu-talu itu telah memuntahkan batu dan debu-debu hitam setinggi beratus-ratus meter ke udara.

Ketua Ahli Seismologi Kerajaan Tonga, Kelepi Mafi yang meninjau lokasi letusan itu baru-baru ini berkata, gunung berapi tersebut mempunyai dua lohong iaitu di Hunga Ha'apai dan sebuah lagi berada kira-kira 100 meter dari luar pesisir pantai.

Kandungan isipadu batu dan debu yang dimuntahkan daripada kedua-dua lohong itu telah memenuhi ruang antara keduanya. Ini secara tidak langsung menyebabkan pertambahan berat dan keluasan kepada pulau berkenaan kepada lebih beratus-ratus meter persegi.

Gunung berapi dasar laut yang meletus itu, terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari pulau utama Tongatapu. Dipercayai, sekurang-kurangnya terdapat 36 buah lagi gunung berapi dasar laut yang masih wujud di sekitar perairan tersebut.

Letusannya berlaku beberapa hari selepas satu gempa bumi sederhana melanda kepulauan itu. Akibatnya, ia telah memusnahkan kawasan yang kaya dengan pelbagai hidupan dan tumbuh-tumbuhan menjadi padang yang dilitupi debu-debu hitam dan tunggul pokok.

"Seluruh pulau itu musnah sepenuhnya. Tiada satu pun hidupan yang selamat. Apa yang tinggal hanyalah tunggul-tunggul pokok kelapa, selain bangkai burung dan ikan yang mati di dalam laut," jelas seorang wartawan radio tempatan, George Lavaka yang merupakan antara orang terawal melawat kawasan kejadian bersama sekumpulan pegawai, saintis dan individu berkaitan empat hari selepas letusan berlaku.

Lavaka juga sempat menceritakan pengalaman cemas yang dialaminya bersama anggota pelawat lain di mana ketika berada hampir dengan pulau tersebut, satu letusan kuat berlaku menyebabkan kesemua mereka terkejut dan tidak tahu hendak berbuat apa.

"Letusan kuat itu berlaku seiring dengan kepulan asap hitam besar yang datang ke arah kami sehingga salah seorang daripada kami menjerit agar enjin bot dihidupkan.

"Namun, kami bersyukur kerana kira-kira 30 meter sebelum ia menghampiri bot kami, asap hitam itu terus berhenti," katanya kepada Reuters.

Rentetan daripada peristiwa itu, pada Jumaat lalu (20 April), satu gempa bumi berukuran 7.9 magnitud sekali lagi melanda Lautan Pasifik yang menggegar dan mencetuskan ledakan gunung berapi di dasar laut berhampiran Pulau Tonga.

p\s : Dengan itu, sama-sama lah kita berfikir, ape yang bakal terjadi kat dunia kita ni dalam masa beberapa tahun lagi...Allah telah pun menjanjikan sesuatu kepada kita dan bahawa Allah adalah Maha Berkuasa...Renung-renungkan lah...